Sunday

Kepadamu Yang Mencintai daripadaku Yang Dicintai

Suasana tenang seketika. Angin bertiup sederhana laju membuatkan rambutku beralun lembut mengikut irama angin. Fikiran ku melayang jauh tatkala aku mengenangkan peristiwa itu. Makin berputar di benak minda, makin sakit dan pedih kepalaku mengimbau setiap kenangan yang dimainkan seperti filem sejarah. Tanpa ku sedar, titis jernih di kelopak pandangan ku ini, jatuh ditarik graviti yang kuat. Semakin lama semakin laju. Semakin lama semakin basah. Adakah aku bersedih? Tanya hatiku.

Aku memandang ke arah satu sudut, tempat ku campakkan kenangan ku bersamanya : Kotak. Ya, sebuah kotak yang berisi memori indah, suka dan duka kita bersama. Kotak pemberian engkau ketika ulangtahun kelahiranku pada tahun lepas. :antas mataku tertancap pada satu helaian kertas berwarna putih. Dihadapannya tertulis " Kepadamu Yang Mencintai daripadaku Yang dicintai ". Bergetar tanganku, menggigil badanku, berderai tangisku tatkala melihat helaian kertas itu. itulah surat terakhir yang kau utuskan padaku. Adakah ini pengakhirannya? Mungkin.

Aku membukanya helaian itu lalu membacanya :

" Kepada Marten (bukan nama sebenar),

maafkan saya kerana menulis surat ini untuk awak. Bukan niat saya menulis untuk memberi kejutan yang terindah, tetapi saya lebih memilih untuk menulis sesuatu yang mungkin akan meninggalkan bekas sengsara kepada diri awak.

Pertamanya, saya memohon ampun dan maaf, dari awal perkenalan kita, hingga akhir hayat kita, kerana setiap perlakuan saya, mendatangkan duka kepada awak, mendatangkan tekanan untuk awak, lantas mengundang kemarahan awak ketika awak membaca utusan ini. Saya tahu apa yang bakal berlaku, dan dengan beraninya, saya mengambil risiko untuk menyatakan pada awak, inilah saat perpisahan buat kita berdua. Saya mengambil keputusan ini, bukan kerana saya tidak cintakan awak, tetapi kerana sayang, saya terpaksa melakukan ini semua, demi kebaikan kita berdua.

Keduanya, ingin saya imbas kembali memori saat kita bersama. Masihkan awak ingat pertemuan kita di Dewan Utama kampus pada 1010xx? Ketika itu, saya baru sahaja mendaftarkan diri di kampus itu. Awak menjadi pendaftar di meja pendaftaran berhadapan dengan Dewan Utama. Ketika itulah, awak gugup. Awak gugup kerana berhadapan dengan kedua orang tua saya. Saya tersenyum melihat telatah awak. Tetapi, saya tidak mengerti perasaan saya ketika itu. Kenapa saya merasakan bahang di pipi saya, seakan malu ketika berhadapan dengan awak waktu itu. Lantas saya mengambil keputusan untuk berdiri di tepi dewan tersebut kerana malu. Awak mengesat peluh awak dan sambil tersenyum malu. Lalu bapa saya mengajak saya beredar dari dewan untuk ke kolej kediaman. Tanpa saya sedar, saya melambai tangan ke arah awak, dan kelakarnya, awak terjatuh kerusi kerana lambaian saya itu. Saya tergelak.

Saya masih terkenangkan kisah awak ingin mengambil hati saya pada hari ulangtahun kelahiran saya dengan berpura-pura menyelamatkan saya dari dibuli oleh rakan-rakan awak. Awak merancang segalanya. Saya akui awak merupakan seorang pelajar pintar di kampus itu. Kepintaran awak meliputi luar dan dalam akademik. Salah seorang rakan awak telah mengambil bekas minuman saya, lalu awak menghalangnya, dengan berlagaknya awak menjegilkan mata awak ke arah rakan, sambil mengenyitkan mata ke rakan awak yang lain. Mereka berlari bagaikan ternampak hantu, kononnya. Awak membawa bekas minuman tersebut kepada saya dan duduk dihadapan saya tanpa diundang. Saya tersipu malu. Awak meluahkan isi hati awak tanpa dipaksa. Saya bertambah malu. Awak juga membelikan saya sebungkus kotak coklat Ferreror Rocher kegemaran saya, dengan sekeping kad kecil comel buatan tangan, dan tanpa diduga, rakan awak yang berlari tadi membawa bunga untuk saya. Saya merasa hairan. Pelbagai persoalan dibenak minda, bagaimana awak tahu coklat kegemaran saya? Bagaimana awak tahu hari itu merupakan ulangtahun kelahiran saya? Bagaimana saya tidak sedar semua kejadian itu dirancang oleh awak? dan soalan terakhir, kenapa awak begitu romantik? Oh, Saya meminta izin pulang ke kolej kediaman dan sempat membawa balik coklat tersebut. Terima kasih awak.

Banyak kenangan dan memori manis sepanjang perkenalan kita yang singkat ini. Namun, Maaf sekali lagi, saya tidak mampu memenuhi permintaan awak yang terakhir itu. Perkahwinan. Bukan kerana saya tidak cintakan awak, tetapi kerana sayang, saya tidak mahu membebankan awak.

Terus terang saya katakan, saya mempunyai satu penyakit. Penyakit barah hati. awak tahu kan penyakit itu? Doktor mengatakan bahawa saya hanya mempunyai jangka hayat hanya dalam tiga tahun sahaja. Ya, doktor bukan Tuhan untuk menentukan hidup mati saya, tetapi doktor hanya mampu meramalkan apa yang bakal berlaku, bergantung pada keadaan penyakit saya. Tahukah awak, Ibu bapa saya merealisasikan impian saya untuk menjejak ke Universiti kerana desakan saya? Saya ingin masuk ke Universiti dan menjadi seorang pelajar universiti, menjadi seorang pelajar yang cemerlang. Tahukah awak, tiga tahun jangka hayat saya itu bermula dari hari pertama saya menjejakkan kaki ke kampus ini? Saya tidak mahu memberi tahu awak, kerana pasti awak akan bersedih, namun itu suratan perjalanan hidup saya.

Awak, bulan depan, saya akan menghadiri majlis Graduasi Universiti, dan saya telah dianugerahkan sijil 'Anugerah Naib Canselor'. Seandainya, saya tidak sempat untuk mengambilnya, saya amanahkan awak, untuk mewakili saya mengambilnya. Tolong saya. Masa saya tidak lama. Saat saya menulis surat ini, saya bakal menjalani pembedahan dalam masa setengah jam lagi. peluang untuk teruskan kehidupan amat tipis. sebab itu, saya mengambil masa dan peluang keemasan ini untuk mengutus surat terakhir buat awak. Sebab, awak merupakan lelaki pertama dalam hidup saya. Sejujurnya.

Akhir kata, ketahuilah awak bahawa, saya sangat mencintai awak, menyayangi awak, dan menerima awak seadanya. Saat kepergian saya nanti, berdampinglah awak disisi ibu bapa saya. Katakan pada mereka, awaklah sumber inspirasi kehidupan saya. Kerana, di pengakhiran penulisan surat ini, saya mengatakan pada mereka bahawa, ada seorang lelaki yang akan mendampingi mereka ketika jenazah saya dikuburkan. Dan awaklah orangnya. Saya merahsiakan dari pengetahuan mereka kerana saya tahu, akan ada satu masa, mereka akan bertemu dengan awak, dan sudah tentu mereka akan terkejut, orang yang menjadi inspirasi saya adalah penjaga meja pendaftaran di hari pertama saya berada di kampus. Tolong tunaikan amanah saya ini.

Salam sayang dari saya. Akan saya bawa kenangan ini ke Syurga. Doakan saya.

- Nurul Azyan Humaira binti Muhammad Bukhari (bukan nama sebenar)- "

Ku lipat surat itu, ku kesat tangisan ku. Lalu aku melangkah keluar dari kamarku.

" Penerima Anugerah Naib Canselor pada tahun ini, merupakan seorang pelajar yang cemerlang dan berdedikasi, namun, beliau telah pergi meninggalkan kita di usia yang muda. Beliau merupakan seorang pelajar yang sangat baik dan peramah, serta seorang yang berbudi pekerti kepada semua golongan usia di Universiti ini. Diumumkan Allahyarhamah Nurul Azyan Humaira binti Muhammad Bukhari sebagai penerima Anugerah Naib Canselor pada tahun ini. Dijemput wakil untuk naik ke pentas bagi menerima anugerah ini "

aku mengalirkan air mata tatkala namanya diumumkan. Aku pasrah dan redha dengan ketentuanNya. Setiap kenangan ini, ku abadikan dalam sebuah puisi yang aku tulis, sehari sebelum majlis graduasi ini.

Pancaran senyuman itu,
Ikhlas dalam sinaran,
Jujur dalam senyuman,
Cantik pada pandangan.

Kehadiranmu membahagiakan,
Keceriaanmu menggembirakan,
Dukamu kau simpan,
Sedihmu kau pendamkan.

Hari ini matahari terang,
Hari ini bulan tersenyum,
Hari ini aku melayang,
Hari ini kau tenang

Damailah kau di sana,
Membawa cebis cebis kenangan,
Setiap cerita
Setiap memori,
Ku semadikan bersama doa,
Syurga itu dijanjikan Ilahi,
Untuk engkau wahai bidadari.

Angin meniup rambutku. Ku tahu kau tersenyum. "Tenanglah kau wahai Humaira." Bisik hatiku.


p/s : kisah ini merupakan kisah benar. Diolah mengikut kesesuaian dan menjaga privasi pencerita. Harap maklum

*copy balik dari blog lama :)

No comments:

Post a Comment